Kajian Tafsir An-Nahlu Ayat 37

 
Kajian Tafsir An-Nahlu Ayat 37

LADUNI.ID, QURAN- Baginda telah berusaha siang dan malam, berjumpa dengan mereka secara terang-terangan atau secara bersembunyi. Tetapi masih ramai lagi yang tidak mahu beriman. Baginda amat risau jikalau ada kesilapan dalam cara dakwah baginda. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam surat An-Nahlu ayat 37.

 

  1. Bunyi Ayat

إِن تَحرِص عَلىٰ هُداهُم فَإِنَّ اللَهَ لا يَهدي مَن يُضِلُّ ۖ وَما لَهُم مِن ناصِرينَ

 

  1. Terjemahan

Jika kamu sangat mengharapkan agar mereka mendapat petunjuk, maka sesungguhnya Allah tiada memberi petunjuk kepada orang yang disesatkan-Nya, dan sekali-kali mereka tiada mempunyai penolong.

  1. Penjelasan Ayat

Sebagai seorang Rasul yang sedar kesan buruk kalau menolak kebenaran, baginda amat berharap supaya semua umat baginda menerima kebenaran. Baginda amat sedih apabila ramai yang menolak dakwah daripada baginda. Baginda telah berusaha siang dan malam, berjumpa dengan mereka secara terang-terangan atau secara bersembunyi. Tetapi masih ramai lagi yang tidak mahu beriman. Baginda amat risau jikalau ada kesilapan dalam cara dakwah baginda. Baginda sebagai seorang yang lembut hati, telah menyalahkan diri baginda. Maka Allah mahu memberitahu bahawa bukannya salah baginda. Allah tahu bahawa baginda amat berharap sangat supaya semua umat baginda beriman, tetapi tidak semestinya keinginan baginda itu akan diperolehi.

Ayat seterusnya

فَإِنَّ اللَهَ لا يَهدي مَن يُضِلُّ

maka sesungguhnya Allah tiada memberi petunjuk kepada orang yang disesatkan-Nya,

Kerana akan ada yang tidak beriman sampai bila-bila. Walaupun baginda berusaha bersungguh-sungguh sekali pun untuk dakwah mereka, baginda tidak dapat keluarkan mereka dari kesesatan. Baginda tidak mampu melakukannya kerana hidayah itu datang dari Allah. Ada orang yang Allah telah tetapkan tidak akan beriman. Tapi bukanlah Allah buat keputusan untuk terus sesatkan mereka. Mereka yang telah tetap akan disesatkan itu adalah kerana mereka telah sampai peringkat keempat kekufuran. Kerana mereka telah diberi peluang berkali-kali untuk menerima dakwah, tetapi mereka menolak dan mereka menentang berkali-kali pula. Jadi sampai pada satu tahap, Allah akan buat keputusan Khatmul Qalbi, terus tutup hati mereka dari kebenaran hidayah. Waktu itu, walau apa pun yang terjadi, walau sesiapa pun yang dakwah mereka, mereka tidak akan dapat menerima hidayah.

Ayat seterusnya

وَما لَهُم مِن ناصِرينَ

dan sekali-kali mereka tiada mempunyai penolong.

Apabila Allah telah membuat keputusan untuk tutup pintu hati mereka daripada kebenaran, tidak ada sesiapa pun yang dapat menyelamatkan mereka dari kesesatan – sama ada Rasul, ahli keluarga atau kawan-kawan mereka sekali pun. Mereka itu Allah telah tulis sebagai ahli neraka. Tunggu masa untuk mati dan dikenakan dengan azab sahaja.Sama halnya dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ فِتْنَتَهُ فَلَنْ تَمْلِكَ لَهُ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا}

Barang siapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka sekali-kali kamu tidak akan mampu menolak sesuatu pun (yang datang) dari Allah. (Al-Maidah: 41)

 

**Helmi Abu Bakar El-Langkawi Pemerhati Masalah Agama dan Pendidikan Asal Dayah MUDI Mesjid Raya Samalanga