Pencerahan Mengenai Hadits “Sultan Adalah Bayangan Allah”

 
Pencerahan Mengenai Hadits “Sultan Adalah Bayangan Allah”
Sumber Gambar: Foto (ist)

Laduni.ID Jakarta – Terdapat hadits yang menyebutkan bahawa “Sultan adalah Bayangan Allah” dan kita dapati ada pihak yang menghukumi hadith ini sebagai da’if secara mutlak. Boleh jadi penilaian tersebut berdasarkan hanya kepada satu atau dua jalur riwayat yang da’if lalu berkesimpulan hadith ini keseluruhannya adalah da’if.

Pada hakikatnya, sesebuah fakta ilmu dan kefahaman sesebuah hadits tidak boleh dinilai hanya berdasarkan satu atau dua jalur riwayat lalu terus memberi kesimpulan secara keseluruhan. Hal tersebut telah ditegaskan oleh Al-Hafiz al-Muhaddith Salah al-Din Khalil al-Ala’i (w,761H/1360M) dalam al-Naqd al-Sahih lima I’tarada ‘alayhi min Ahadith al-Masabih (ms.25) bahawa penilaian terhadap sesebuah hadits bukan sekadar riwayatnya lemah lalu ditolak begitu sahaja kerana ia tidak boleh dilakukan kecuali meninjau dengan penuh ketelitian yang sangat mendalam dan sempurna dari sudut matan setelah mengumpulkan seluruh jalur sanad yang berkaitan dengannya dan perkara itu adalah sesuatu yang sukar dilakukan oleh ulama muta’akhirin.

Baca Juga: Penjelasan Hadits yang Menyatakan “Anak Zina Tidak Masuk Surga”

Syaikh Dr. Khalīl Ibrāhīm Mulla Khaṭir dalam Khuṭūrah Musawah al-Ḥadīth al-Ḍaʻif bi al-Mawḍuʻ menyatakan bahawa telah menjadi kesepakatan para Ulama Muhaddithin bahawa sesebuah hadits itu tidak boleh diiktiqad dengan pasti akan keda’ifannya hanya berdasarkan kepada satu sanad hadits sebagaimana sesebuah hukum tidak boleh diputuskan hanya bersandar kepada satu riwayat, sebaliknya penelitian yang terperinci mestilah dilakukan terhadap kewujudan sokongan-sokongan hadits dari jalur yang lain.

Pengkaji hadits di era modern ini hendaklah berhati-hati dan cermat dalam mengungkapkan status sesebuah hadits kepada masyarakat agar tidak timbul kesalahfahaman terhadap sesuatu yang telah disepakati oleh para Ulama berkaitan fakta ilmu yang terkandung pada hadits tersebut. Pengkaji hadits tidak sepatutnya memberi status hadits dan berhenti disitu sahaja tanpa menjelaskan apakah kedudukan praktiknya yang sebenar disisi Ulama Muktabar supaya masyarakat tidak bermudah menolak sesebuah fakta ilmu apabila ianya dicopkan sebagai hadits da’if. Dikhuatiri dalam keghairahan menyemak status hadits, menyebabkan seseorang terlepas pandang sehingga memberi gambaran yang silap kepada masyarakat seolah-olah sesebuah fakta ilmu itu adalah terkeluar dari ruanglingkup agama Islam, sedangkan fakta tersebut telah diterima para ahli ilmu tanpa sebarang penolakan dari mereka.

Penulisan ini coba memaparkan penilaian oleh Ulama Muktabar mengenai hadits “Sultan adalah Bayangan Allah” sekaligus membuktikan bahawa riwayat-riwayat yang wujud dari berbagai jalur telah menjadikan hadits ini diterima secara kukuh disisi Ahli Ilmu (Talaqqi bi al-Qabul).

Telah diriwayatkan dari Nabi Muhamad ﷺ  bersabda:

السلطان ظل الله في الأرض فمن أكرمه أكرم الله ومن أهانه أهانه الله

Bermaksud: “Sultan ialah bayangan Allah di bumi, sesiapa yang memuliakannya maka Allah akan memuliakannya dan sesiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya”.

Hadits ini diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman dan Ibnu Abi ‘Asim dalam al-Sunnah. Sahabat yang meriwayatkannya ialah Sayyidina Abu Bakrah. Hadits ini dinilai da’if oleh Imam al-Munawi dalam Fayd al-Qadir kerana dalam jalur sanad ada Sa’ad bin Aus, akan tetapi menurut beliau makna yang terkandung di dalam hadith adalah sahih. Syarahan beliau mengenai makna hadith ini akan kami bawakan pada perenggan-perenggan yang akan datang.

Walaubagaimanpun, Imam al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (496/1) telah menilai hadits ini mempunyai sanad riwayat yang kukuh serta memberi komentar yang baik mengenai makna hadith ini iaitu ianya layak untuk menjadi dalil kepada suatu hukum.

Baca Juga: Syarat Mengajar Hadist bagi yang Tidak Mengetahui Ilmu Musthalah Hadits

Berkenaan Saad bin Aus, Ulama Hadith berselisih pendapat mengenainya, Imam Ibnu Ma’in menilainya da’if. Imam Ibnu Hajar menilainya sebagai perawi yang dipercayai (thiqah) tetapi mempunyai kesilapan manakala Imam Ibnu Hibban menilainya thiqah (dipercayai).

Ternyata riwayat hadits di atas mempunyai sokongan dari Sahih Tirmidhi (no.2224) dan Musnad Ahmad, iaitu:

عَنْ زِيَادِ بْنِ كُسَيْبٍ الْعَدَوِيِّ قَالَ

كُنْتُ مَعَ أَبِي بَكْرَةَ تَحْتَ مِنْبَرِ ابْنِ عَامِرٍ وَهُوَ يَخْطُبُ وَعَلَيْهِ ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَقَالَ أَبُو بِلَالٍ انْظُرُوا إِلَى أَمِيرِنَا يَلْبَسُ ثِيَابَ الْفُسَّاقِ فَقَالَ أَبُو بَكْرَةَ اسْكُتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ

Ziyad bin Kusaib Al 'Adawi berkata: Aku pernah bersama Abu Bakrah di bawah mimbar Ibnu 'Amir saat dia berkhutbah, dia mengenakan baju tipis lalu Abu Bilal berkata: Lihatlah pemimpin kita mengenakan baju orang-orang fasiq. Abu Bakrah berkata: Diam, aku pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda : "Barangsiapa menghina Sultan , Allah akan menghinakannya”.

Hadits di atas diriwayatkan oleh Ziyad bin Kusaib, beliau adalah salah seorang perawi dalam Sahih Tirmidhi. Imam Ibnu Hibban menilainya sebagai thiqah (dipercayai). Imam Ibnu Hajar pula menilainya sebagai perawi maqbul (diterima) iaitu diterima haditsnya jika ada sokongan.

Imam Diya’ al-Din al-Maqdisi dalam Sihah al-Ahadith fima Ittafaqa ‘Alayhi Ahlu al-Hadith menyatakan bahawa sekalian Muhaddithin telah bersepakat akan kesahihan hadits ini.

Kandungan yang terdapat dalam hadits ini sesuai dengan ayat al-Qur’an yang menyebut bahawa manusia adalah Khalifah Allah di atas muka bumi, dan Sultan mempunyai otoriti untuk melaksanakan tugas tersebut dalam skala yang lebih besar, oleh kerana itu, Sultan yang dapat merealisasikan makna itu dipanggil sebagai Bayangan Allah di atas muka bumi. Ia juga selari dengan Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”. (al-Nisa’:59)

Hadits “Sultan adalah Bayangan Allah di bumi”  juga selari dengan hadith sahih riwayat al-Bukhari bahawa Baginda ﷺ bersabda:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.”

Imam al-San’ani dalam al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir, (6/472), menerangkan pemerintah atau sultan ini digambarkan sebagai Bayangan Allah adalah diumpamakan pemerintah itu seperti tempat berteduh bagi orang yang mencari tempat untuk berteduh dan teduhan itu diumpamakan apabila pemerintah itu melaksana atau memerintah dengan adil. Selain itu juga, bayangan ini juga membawa maksud kemuliaan dan kekuasaan.

Baca Juga: Menggunakan Al-Qur’an Dan Hadits Sebagai Dalil

Imam al-Munawi dalam Fayd al-Qadir (no.4815) berkata: Bermaksud: “(Sultan adalah Bayangan Allah di bumi) kerana dia menangkis keburukan dari orang-orang sebagaimana naungan melindungi dari panas matahari. Ianya adalah suatu  simbolik pengkhususan dari Allah terhadap siapa yang Dia jadikan sebagai penguasa di negerinya  untuk menyebarkan keadilan dan kebaikannya di antara hamba-hamba-Nya. Dan jika di dunia ini dia dapat merealisasikan tugas sebagai Bayangan Allah iaitu melindungi setiap orang dari kekhuatiran kepadanya maka selayaknya pula di akhirat dia mendapat lindungan dibawah bayang-bayang Arash Ilahi.  Al-Arif billah Abu al-Abbas Al-Mursi berkata: Demikian itu adalah seandainya dia bertindak adil,  jika tidak, dia adalah bayangan kepada ego dan nafsunya sendiri”.

(Jadi barang siapa yang memuliakannya, Allah akan memuliakannya, dan barangsiapa yang menghinanya, Allah akan menghinanya) kerana sistem agama hanya melalui pengetahuan dan ibadah, dan itu hanya boleh terjadi dengan pemimpin yang ditaati.

Hadits yang datang dengan lafaz “Sultan adalah Bayangan Allah”, terdapat tujuh sahabat Rasulullah ﷺ yang meriwayatkannya, yaitu:

1. Sayyidina Abu Bakrah, iaitu hadith yang pertama kami sebutkan di atas. Haditsnya dinilai sahih oleh Imam al-Maqdisi dalam Sihah al-Ahadith.

2. Sayyidina Abu Hurayrah, ianya diriwayatkan oleh Imam Abu Muhammad bin Yusuf dalam Juz’un min al-Amali dan Imam al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (4817), beliau telah menilai hadits ini sebagai hasan.

3. Sayyidina Anas, diriwayatkan oleh Imam al-Bayhaqi dalam Shu’ab al-Iman (6991), Imam al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (1/496), Imam Abu Shaykh dan al-Khatib Baghdadi.

4. Sayyidina Abu Ubaydah, diriwayatkan Imam Ibnu Abi ‘Asim dalam al-Sunnah (1013).

5. Sayyidina Umar, diriwayatkan oleh Imam Abu Nu’aym dalam Fadilat al-‘Adilin min al-Wulah.

6. Sayyidina Abdullah Ibnu Umar, diriwayatkan oleh Imam al-Hakim, Imam al-Bazzar dan Imam al-Bayhaqi.

7. Sayyidina Abu Bakar, diriwayatkan oleh Imam Abu Shaykh

Beberapa riwayat di atas dikenalpasti sebagai da’if, akan tetapi, Shaykh Muhammad Awwamah dalam kitab Dirasat al-Kashif li al-Imam al-Dhahabi, menjelaskan, “Ulama hadith telah membuka bab ‘shawahid’ untuk mensabitkan hadith dan memperkuatkannya meskipun dalam kes di mana syahid dan masyhud kedua-duanya da’if. Saya membicarakan bab shawahid secara khusus kerana ia berkaitan dengan makna matan dan saya ingin menegaskan bahawa para ulama begitu mengambil berat soal matan hadis dan maknanya. Maka apabila datang suatu fakta yang terdapat di dalam sesebuah hadith da’if dan ia disaksikan oleh hadith da’if yang lain, maka kamu akan melihat para ulama mensabitkan hadith tersebut dan bersandar kepadanya”.

Berdasarkan banyaknya jalur sanad yang setiap satu menjadi penguat yang lain, al-Allamah Suhayb al-Ghumari telah menilai kandungan hadith “Sultan adalah Bayangan Allah” ini telah mencapai mutawatir ma’nawi. Imam al-Suyuti dalam Tadrib al-Rawi (al-Naw’ al-Thalathun) menjelaskan, “Para Ulama Usul telah membahagikan mutawatir kepada “mutawatir lafzi” yakni matan lafaz yang datang secara berturut-turut dan “mutawatir ma’nawi” yakni makna hadith yang dinukilkan oleh sejumlah Ulama yang ramai dan mustahil untuk menuduh mereka bersepakat di atas pembohongan”. Menurut al-Allamah al-Ghumari, kandungan hadith ini telah mencapai Talaqqi bi al-Qabul iaitu penerimaan umum secara meluas oleh para Ulama dan tiada siapa pun yang mengengkarinya.

Imam Ibnu Abd al-Barr pula dalam al-Istidhkar (ms.159) berkata, “Sesungguhnya kesepakatan atau persetujuan para ahli ilmu terhadap fakta yang terkandung dalam hadith da‘if menjadi petunjuk bahawa isi kandungan hadith tersebut bernilai sahih, diterima dan dapat diamalkan. Status hadith yang demikian lebih kuat daripada hadith bersanad sahih yang sendirian”.

Kesimpulan

Hadits “Sultan adalah Bayangan Allah” adalah salah satu bukti bahawa sesebuah fakta ilmu itu tidak boleh dinafikan atau dida’ifkan secara mutlak hanya bersandar kepada satu dua jalur riwayat, kerana penerimaan para Ulama terhadapnya mempunyai peranan yang besar untuk menentukan ianya dapat diterima atau ditolak.

Hatta jika diandaikan hadith ini da'if sekalipun dan tidak pula mempunyai sokongan dari jalur riwayat yang lain sekalipun, ia tetap dapat diamalkan berdasarkan kesepakatan para Ulama bahawa hadith da’if boleh diamalkan dalam hal targhib (peningkat motivasi untuk beramal) dan tarhib (pemberian ancaman). Inikan pula realitinya adalah hadith ini tidak kekal berstatus da’if  sebaliknya telah naik kepada hasan li ghayrihi atau lebih tinggi dari itu.

Hadits da'if yang berkaitan dengan targhib dan tarhib adalah jenis hadits yang telah disepakati para Ulama Muhaddithin untuk berlebih kurang dengan sanad periwayatannya. Maka amat salah tindakan sesetengah pihak yang cuba memperketatkan penilaian status hadithnya kerana hal tersebut bercanggah dengan kaedah Ilmu Hadith itu sendiri.

Makna yang terkandung dalam hadits “Sultan adalah Bayangan Allah” bertindak bagai serampang dua mata iaitu mengajarkan kepada rakyat untuk beradab kepada pemimpin dan pada sisi yang lain sebagai peringatan buat pemerintah mengenai tanggungjawab mereka.

Hadits ini mengandungi teguran kepada pemerintah (Sultan) dan mereka yang mempunyai tanggungjawab ke atas kepentingan rakyat dalam mengendalikan urusan kerajaan (Perdana Menteri) kerana kiasan sebagai 'Bayangan Allah' adalah ingatan untuk menegakkan keadilan, berbuat ihsan dan menolong mereka yang memerlukan. Bayangan Allah adalah kiasan bahawa Sultan atau pemerintah tidak boleh melakukan kekejian dan kemungkaran serta melampaui batas. Sandaran kepada Bayangan Allah sebagai satu kemuliaan jika ia dilaksanakan dengan sifat amanah dan sebaliknya satu kekesalan jika mengkhianati amanah ini.

Baca Juga: Mengamalkan Al-Qur’an dan Hadits Tanpa Mau Bermadzab

Dalam masa yang sama hadits ini mengajar rakyat untuk tidak bersikap biadab kepada pemerintah. Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad bahawa Baginda ﷺ bersabda:  “Barangsiapa ingin menasihati pemerintah dalam suatu perkara, maka janganlah dia melakukannya secara terbuka, tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya. Jika ia diterima, dia telah menerima kebaikan. Jika tidak, dia telah menjalankan kewajiban terhadapnya.”

Pernah suatu hari seorang lelaki menegur Khalifah Harun Al-Rasyid dengan bahasa yang kasar lagi keras, dan hanya memanggil Khalifah Harun Al-Rasyid dengan panggilan namanya semata : Iaitu Harun. Maka Khalifah Harun berkata kepadanya, “Wahai fulan, aku tidak lebih jahat dari fira'un dan kamu pula tidak lebih baik dari Nabi Musa AS, akan tetapi tatkala Allah Ta'ala mengutus Nabi Musa AS untuk berdakwah kepada fira'un, Allah Ta’ala berfirman: " Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (fir'aun) dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut." (Surah Taha ayat 44)
---------
Kredit: Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari
Editor: Nasirudin Latif